Jumaat, 12 Julai 2013

PESANAN ROH DAN TALKIN MENUJU AKHIRAT


PESANAN ROH PADA MANUSIA


Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut". Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu : "Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh" . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya".

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku". "Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya.

Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasullullah saw bersabda:

Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah saw lagi:

"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail as akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail as "Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail as akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah swt menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah swt " Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah swt dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan." Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah swt.

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu. " Sebaik saja mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah swt. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah swt maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar ra telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar ra:

"Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah saw: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.

3. Orang berpuasa di hari Arafah



+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

TALKIN JALAN AKHIRAT


Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam
Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa
Maha Suci Tuhan yang menjadikan mat
Dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa
Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran
Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai
Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup
Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa
Melainkan zat Allah Taala, Dialah Tuhan yang Maha Besar berkuasa menghukum
Manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadhrat Allah Taala

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA
Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah
Yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini
Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat
Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah
Dengan sebenar-benarnya melainkan Allah
Dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah
Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA,
Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu
Iaitu Mungkar dan Nangkir, maka janganlah berasa gentar dan takut
Janganlah kamu berdukacita dan risau
Serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA
Bahawasanya Mungkar dan Nangkir itu hamba Allah Taala,
Sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala
Apabila mereka menyuruh kamu duduk,
Mereka juga akan menyoal kamu
Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?

Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?



Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka
Dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul
Janganlah berasa gementar, janganlah cuak
Dan janganlah bergopoh-gapah
Biarlah tenang dan berhati-hati, hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku,
Malahan solah lima waktu,
Puasa di bulan Ramadhan,
Mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku,
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
Bahkan dari masa hidup hingga aku mati
Aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah”.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu
Inilah dia suatu dugaan yang paling besar
Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh
Sehingga sampai satu masa kelak,
Kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA,
Bahawasanya mati ini adalah benar
Soalan malaikat Mungkar dan Nangkir di dalam kubur ini adalah benar
Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar
Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar
Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar
Minum di kolam air nabi adalah benar
Ada syurga dan neraka adalah benar
Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya
Begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa
Akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah
Dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu
Tuhan jua yang menetapkan hati kamu
Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala
Menjinakkan hati kamu yang liar
Dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu
Yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini
Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan
Dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak
diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalhamdulillahi
rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, pasti akan mati – “Kullu nafsin za iqatul maut”


Semoga kita mendapat segala ilmu yang berguna dari kedua -keduanya.

 "Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat."













Tiada ulasan:

Catat Ulasan